• Utusan Online

Rohingya Diancam Musim Monsun

Selain dugaan bulan Ramadan terdedah bahaya bencana

PELARIAN Rohingya membuat longkang sebagai persediaan menghadapi musim monsun di kem pelarian Kutupalong di Ukhia, Bangladesh

COX’S BAZAR 27 Mei - Kira-kira 700,000 etnik Islam Rohingya yang me­larikan diri ke tenggara Bangladesh sejak sembilan bulan lalu mendakwa, musim monsun yang semakin hampir memberi ancaman paling serius kepada nyawa mereka sejak diusir secara zalim dari Myanmar.


Diuji pula dengan Ramadan, hampir satu juta etnik minoriti Islam itu menghuni daerah Cox’s Bazar namun dengan kedata­ngan pelarian baharu yang tinggal di bangsal diperbuat daripada buluh dan plastik di kawasan bukit yang tidak stabil mendedahkan mereka kepada ancaman tersebut.


“Keluarga kami mungkin terbunuh, terdapat kanak-kanak di merata-rata tempat di sini. Kami sentiasa bimbang hujan akan mengakibatkan tanah runtuh,” kata seorang pelarian berusia 53 tahun di benteng curam, tempat dia tinggal bersama sembilan ahli keluarga lain.


Dalam pada itu, satu operasi besar-besaran untuk membantu kem-kem berkenaan berdepan bencana bahaya terbabit sudah digiatkan dengan jentolak meratakan bukit dan pelarian mula meninggalkan kawasan tersebut.


Namun ketika musim hujan semakin hampir, kematian kanak-kanak sepanjang bulan ini akibat bencana banjir lumpur dan tanah runtuh telah menimbulkan ketakutan akan berlakunya tragedi yang lebih besar.


“Setiap orang takut, tertanya-tanya ke mana mereka mahu pergi jika rumah mereka musnah,” kata Imam Rohingya, Muhammad Yusuf.


Pada masa sama, timbul masalah kekurangan kawasan yang selamat untuk memindahkan kira-kira 200,000 pelarian akibat ancaman langsung banjir dan tanah runtuh dengan hanya 21,000 orang berpindah setakat ini.


“Kita boleh kehilangan ba­nyak nyawa ketika ramai orang menuruni kawasan berbukit dan lembah dinaiki air.