• Berita Harian

Majlis Keselamatan PBB Lawat Myanmar, Pantau Krisis Rohingya


NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memulakan lawatan ke Bangladesh dan Myanmar esok, bagi mempertimbangkan langkah berikutnya dalam menangani antara krisis pelarian terburuk di dunia, berpunca daripada pengusiran etnik Muslim Rohingya.


Myanmar mula mendapat perhatian antarabangsa sejak kempen kejam tentera yang dilancarkan Ogos lalu mengakibatkan lebih 700,000 Rohingya melarikan diri dari rumah mereka di utara negeri Rakhine ke kem-kem yang penuh sesak di Bangladesh.


Majlis itu menggesa Myanmar untuk membenarkan mereka kembali dengan selamat dan mengambil langkah perlu dalam mengakhiri diskriminasi yang dideritai minoriti Islam di negara majoriti Buddha itu sejak berdekad lalu.


Lawatan bermula di kem Cox Bazaar, Bangladesh di mana delegasi akan bertemu dengan pelarian, yang pernah berdepan pengalaman pembunuhan kejam, perkosaan dan pembakaran kampung di tangan tentera dan militan Myanmar. Ia pernah didokumenkan dalam laporan hak asasi manusia PBB sebelum ini.


Kunjungan empat hari yang diketuai Kuwait, Britain dan Peru itu dijangka termasuk perjalanan dengan helikopter ke Rakhine untuk membenarkan delegasi melihat perkampungan yang terjejas akibat keganasan, termasuk Pan Taw Pyin dan Shwe Zar.


Majlis juga akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dikritik kerana gagal mempertahankan isu Rohingya, dan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.


Duta Kuwait, Mansour al-Otaibi berkata, kunjungan itu bukan bertujuan untuk 'mengutuk mahupun memalukan' Myanmar, sebaliknya menjelaskan kepada mereka bahawa isu ini cukup dekat di hati komuniti antarabangsa yang bersungguh untuk menyelesaikannya.