• Berita Harian

Musim Monsun Ancam Pelarian Rohingya


SINGAPURA: Panel penasihat antarabangsa Myanmar mengenai isu Rohingya berkata, ketibaan musim monsun dijangka mengundang 'kadar kematian yang tinggi', memandangkan pembinaan struktur bangunan di kem pelarian di Bangladesh tidak mampu menahan ribut.


Kumpulan hak asasi itu berkata, kira-kira 700,000 pelarian, sebahagian besarnya penduduk Islam Rohingya meninggalkan Rakhine, Myanmar sejak Ogos lalu, bagi mendapatkan perlindungan di Cox's Bazar, Bangladesh.


Mereka kini tinggal di dalam khemah yang diperbuat daripada plastik dan bulu.


"Kita sekarang sedang mengejar masa kerana musim monsun bakal tiba.


"Ketika ini, kem penempatan sudah memuatkan hampir satu juta manusia dan ia tidak mampu menampung ketibaan musim monsun.


"Jika tiada usaha diambil untuk melaksanakan program penghantaran semula atau penyerahan bantuan, jumlah kematian yang dicatatkan mungkin besar," kata ketua lembaga sekretariat itu, Kobsak Chutikul dalam satu sidang media di sini.


Sementara itu, Bangladesh kini bertungkus-lumus menyiapkan kem penempatan baharu di pulau berhampiran, iaitu Bhasan Char selepas penangguhan perjanjian penghantaran semula pelarian antara kedua-dua negara, menjelang ketibaan Monsun akhir bulan ini.