• Berita Harian

Syukur Malaysia Aman


NILAI: "Saya dan keluarga bersyukur dapat berada di Malaysia kerana di sini aman dan selamat," kata Jasimuddin Saiful Aznee, 13, remaja Rohingya yang berhijrah ke negara ini bersama ibu bapa dan dua adik, sejak 2013.


Dia yang berasal dari Arakan, Myanmar itu terpaksa mengikuti keluarganya berhijrah ke sini sebagai pelarian selepas kampung halaman mereka di bakar susulan penghapusan pemisahan etnik pihak berkuasa negara itu.


Katanya, dia tidak lagi berpeluang jumpa rakan sebaya dan sanak saudara di Arakan kerana berhijrah ke Malaysia tetapi bersyukur kerana terselamat daripada kekejaman tentera Myanmar.


"Ketika kampung kami dibakar, ramai yang dihalau keluar dan tidak kurang juga ramai menjadi mangsa kekerasan dan kekejaman askar.


"Walaupun lega kerana dapat berada di Malaysia yang aman dan selamat, kerinduan kepada kampung halaman sentiasa ada," katanya ketika ditemui selepas Program Motivasi Tapow A, di Stadium Tertutup Nilai di sini, semalam.


Jasimuddin adalah antara kira-kira 2,500 peserta termasuk sebahagian besarnya pelarian Rohingya dari sekitar negeri ini dan Lembah Klang yang menyertai program sebuah syarikat konsultan tempatan itu.


Program motivasi itu menekankan tiga elemen membabitkan agama, akhlak dan akademik selain turut berkongsi tayangan video mengisahkan kesusahan etnik Muslim Rohingya yang menjadi pelarian di Bangladesh.


Pengerusi MAPIM Negeri Sembilan, Mohd Fuad Othman, berkata program bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat supaya turut membantu pelarian berkenaan selain mensyukuri nikmat tinggal di negara yang aman ini.


"Saya lihat ramai pelajar, ibu bapa dan keluarga Rohingya yang menitiskan air mata ketika melihat tayangan video itu," katanya.