• www.bharian.com.my

PRESIDEN Myanmar, Htin Kyaw Letak Jawatan


YANGON: Presiden Myanmar, Htin Kyaw meletak jawatan hari ini, sekali gus menyebabkan Kaunselor Kanan, Aung San Suu Kyi kehilangan sekutu rapat, bagi berdepan dengan tekanan antarabangsa berhubung krisis di Rakhine.


Htin Kyaw yang juga rakan lama Suu Kyi, dianggap sebagai proksinya bagi mentadbir Myanmar, selepas beliau dihalang daripada memegang jawatan itu mengikut Perlembagaan yang digubal junta tentera.


Justeru, peranannya lebih berbentuk istiadat selepas Suu Kyi melantik dirinya sebagai Kaunselor Negara dan sering terbabit dalam pentadbiran.


Namun, Htin Kyaw kekal sebagai ketua negara dan sekutu utama Suu Kyi dalam kepemimpinan partinya.


Sebelum ini, timbul khabar angin mengenai tahap kesihatan Htin Kyaw, 72, yang baru-baru ini dilihat kehilangan berat badan dengan mendadak, selain dilapor pernah mengalami masalah jantung.


"Presiden Myanmar, U Htin Kyaw meletak jawatan pada 21 Mac 2018," kata satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi presiden.


Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai punca peletakan jawatan itu, sebaliknya berkata: "Beliau (Htin Kyaw) ingin berehat bersama keluarga daripada tugas yang disandang ketika ini".


Kenyataan itu juga menyebut, pemimpin baharu Myanmar akan dipilih dalam tempoh 'tujuh hari bekerja'.


Setakat ini, tiada calon terdekat dilatih bagi menyandang jawatan itu, tetapi beberapa nama pemimpin kanan parti pernah disebut untuk mengetuai pentadbiran Myanmar ketika Suu Kyi mengambil alih kuasa.


Menurut Perlembagaan, Naib Presiden Myanmar, Myint Swe, yang juga bekas jeneral akan mengisi kekosongan jawatan itu sehingga presiden baharu dilantik.

42 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua