• Utusan Online

Kotor Punca Penyakit Merebak


NASIB Fatima, 6 bulan, sama seperti kebanyakan bayi lain di kem pelarian, iaitu demam, muntah-muntah dan perut kembung tanpa mendapat sebarang rawatan

MAJORITI keadaan fizikal bayi-bayi pelarian Rohingya di Kem Cox's Bazar, Bangladesh hampir sama, iaitu perut kembung, berkepala besar, serta kaki dan tangan bengkok tidak seperti bayi sihat, pemandangan yang biasanya dilihat di Afrika seperti Somalia dan Sudan yang menghadapi kebuluran.


Persoalannya, adakah fenomena kebuluran sedang melanda penghuni kem-kem pelarian Rohingya?


Hakikatnya, misi kemanusiaan dan bantuan yang ada jauh lebih kecil berbanding jumlah pelarian.


Hasil tinjauan di kem-kem mendapati kebanyakan ibu bapa seolah-olah menganggap bayi mereka menghidap penyakit misteri, lantaran para doktor tidak dapat memberitahu apakah jenis penyakit sebenar yang menyerang bayi-bayi berkenaan.


Bagaimanapun, selepas menemui petugas di Hospital Cox’s Bazar memberikan sedikit jawapan kepada persoalan penyakit misteri itu. Kebanyakan bayi di kem pelarian menghadapi masalah kekurangan zat dan vitamin selain terdedah kepada pelbagai ancaman penyakit disebabkan punca air tidak bersih dan persekitaran kem yang terlalu kotor.


Agak memualkan apabila melihat najis-najis manusia terdapat di mana-mana hingga menimbulkan bau busuk melampau. Tandas-tandas pula dalam keadaan sangat kotor dan menjijikkan. Jika dalam perjalanan pertama keadaan ini tidaklah begitu teruk, saya percaya jumlah tandas tidak mencukupi disebabkan bilangan pelarian semakin bertambah sementara tandas sedia ada sudah penuh takungan najisnya.


Selain itu, jumlah tempat air bertakung semakin meningkat, parit dan lubang tersumbat dengan pelbagai sisa kekotoran.


Saya juga dimaklumkan oleh petugas sukarelawan asing, kadar ibu-ibu mengandung juga akan terus berlaku, lantaran apa jua keadaan di sini tiada peraturan, tiada sistem dan tiada panduan, sedangkan naluri manusia adalah sesuatu yang fitrah.


TERUSKAN MEMBANTU


Kesimpulannya, hanya masa dan ketika bakal menentukan semua ini, tempoh enam bulan dan seterusnya akan memperlihat keadaan lebih dahsyat selagi konflik Rohingya tidak segera diselesaikan.


Ibarat luka bertambah dalam, keadaan kanak-kanak dan pelarian lain pastinya akan terus bertambah tenat di kem-kem pelarian di seluruh Cox’s Bazar.


Saya berharap agar rakyat Malaysia terus menyumbang pelbagai bentuk barangan seperti tilam, bantal, cadar, tikar, peralatan dapur, pakaian, ubat, barang makanan dan sebagainya. Memandangkan halangan dan kesulitan bakal dihadapi dalam membuat sumbangan akibat peraturan imigresen dan sebagainya oleh kerajaan Bangladesh, tambang perjalanan dan keadaan fizikal kem yang mencabar, sudah pasti tidak semua mampu sampai ke sana untuk menghulurkan sumbangan.


Oleh itu sumbangan boleh dibuat kepada Mapim yang mempunyai wakil dan berpengalaman luas dalam usaha kemanusiaan di Cox’s Bazar.


Sumbangan rakyat Malaysia boleh digunakan untuk membina rumah, masjid, surau, telaga air bersih, pek makanan , kayu api, ubat-ubatan dan lain-lain ke keperluan mendesak yang sangat diperlukan oleh pelarian buat masa ini.


101 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua