• Harian Metro

Myanmar Masih Nafi Pembersihan Kaum


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Amerika Syarikat (AS) semalam menggambarkan penafian Myanmar berhubung pembersihan kaum Rohingya sebagai ‘mengarut’ dalam pada ia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memastikan tentera negara itu dipertanggungjawabkan dan memberi tekanan terhadap Aung San Suu Kyi supaya ‘mengiktiraf perbuatan kejam berkenaan.’


“Golongan berkuasa di dalam kerajaan Myanmar menafikan wujudnya pembersihan kaum di Rakhine.


“Untuk memastikan dakwaan mereka tidak boleh dipertikaikan, mereka menyekat akses ke Rakhine oleh sesiapapun atau mana-mana organisasi yang mungkin menjadi saksi kekejaman dilakukan itu, dan ini termasuk Majlis Keselamatan,” kata Duta AS ke PBB, Nikki Haley.


Susulan itu, dia turut menyelar penahanan dua wartawan agensi berita Reuters yang ditahan kerana melaporkan pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya dan seterusnya menggesa pembebasan mereka.


“Sudahlah begitu berani mereka meletakkan media pula sebagai pihak bersalah. Kami turut menggesa pembebasan segera dua wartawan Reuters yang ditahan semata-mata melaporkan isu pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya,” katanya.


Laporan khas Reuters itu yang diterbitkan minggu lalu memperincikan kejadian yang membawa kepada pembunuhan 10 lelaki Rohingya dari perkampungan Inn Din di Rakhine yang mayat mereka ditemui dalam kubur besar-besaran selepas ditetak atau ditembak mati askar dan jiran mereka yang beragama Buddha.


Duta Perancis ke PBB, Francois Delattre turut menegaskan kepada Majlis Keselamatan bahawa pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya yang dilaporkan Reuters itu satu jenayah terhadap kemanusiaan.


Myanmar berulang kali menafikan pembersihan kaum berlaku.

24 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua