• Harian Metro

Sedia Buat Kerja Amal


Menyertai misi bantuan kemanusiaan bukanlah aktiviti baru buat kumpulan nasyid popular Hijjaz. Sehingga kini, sudah beberapa misi mereka sertai seperti di Syria dan Palestin.


Aktiviti itu dibuat bukan untuk mengejar nama, tetapi atas dasar semangat kemanusiaan dan prihatin terhadap penderitaan saudara Islam yang lain.


Hijjaz yang popular dengan lagu Pelita Hidup dan Sumayyah dianggotai Isman Nadim Isam, Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.


Isman berkata, dalam kehidupan yang dipinjamkan seketika Allah SWT ini, mereka cuba seimbangkan dunia dan akhirat.


“Selain amalan harian yang wajib dilakukan, amalan lain juga perlu diambil kira yang bertujuan menuju ke jalan Allah.


“Hijjaz juga bersedia bekerjasama dengan pihak yang berminat melakukan misi kemanusiaan untuk membantu saudara Muslim yang lain,” katanya.


Isman berkata, Hijjaz sangat berbesar hati untuk bersama-sama terbabit menjalankan misi kemanusian dan kecemasan dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).


Hijjaz yang juga pemenang tempat kedua program Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun lalu turut memaklumkan karier nyanyian mereka masih mendapat tempat di hati masyarakat.


“Kami masih aktif membuat persembahan kerana tawaran menyanyi pun ada, cuma pembabitan untuk misi kemanusiaan disertai untuk saham akhirat.


Mengulas mengenai lagu baru Hijjaz, Isman berkata, buat masa sekarang Hijjaz memberi fokus untuk sertai misi kemanusiaan kepada saudara Muslim yang ditindas dan memerlukan bantuan.


Hijjaz yang bekerjasama dengan MAPIM berangkat ke Bangladesh untuk misi bantuan kecemasan pada 22 hingga 26 Februari lalu.


Isman berkata, sumbangan amanah rakyat Malaysia sudah disampaikan kepada saudara Muslim Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.