• Berita Harian

10 Pelarian Rohingya Dalam Kem Maut Dipijak Gajah


GENEVA: Sepuluh pelarian Rohingya maut dipijak sekumpulan gajah yang sedang mencari makanan, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam, sekali gus mengumumkan rancangan baharu yang memberi fokus kepada keharmonian tempat tinggal membabitkan pelarian dan haiwan berkenaan.


Kira-kira 700,00 penduduk Rohingya di Myanmar dilaporkan melarikan diri ke sempadan Bangladesh sejak Ogos tahun lalu susulan kekejaman tentera yang disifatkan PBB sebagai kempen pembersihan etnik.


Kem pelarian dibina secara meluas di Cox's Bazar terletak di sempadan Bangladesh, termasuk Kutupalong yang kini diisytiharkan sebagai kem pelarian terbesar di dunia.


Selain tinggal dalam persekitaran sesak dan serba kekurangan, agensi pelarian PBB mendakwa ancaman gajah liar yang semakin berleluasa lebih membimbangkan.


"Kawasan yang kini menempatkan kem pelarian Kutupalong sejak sekian lama menjadi habitat penting bagi gajah Asia.


Dianggarkan terdapat kira-kira 40 ekor gajah yang sering berulang-alik di antara Bangladesh dan Myanmar untuk mencari makanan," kata agensi berpangkalan di Geneva dalam satu kenyataan."Sewaktu kawanan gajah liar melintasi kawasan kem, pertembungan antara haiwan dan penghuni di situ tidak dapat dielakkan sekali gus mencetuskan pelbagai perkara buruk.


"Kematian sepuluh pelarian yang dibunuh gajah yang ketakutan itu amat tragik. Itu belum termasuk mangsa yang cedera dan kemusnahan harta benda berpunca daripada kekacauan ini, "ujar kenyataan itu. - AFP.



5 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua