• Berita Harian

Dunia Semakin Lupakan Rohingya


COX'S BAZAR: Jabal Ummah (bukit ummah) barangkali nama yang asing bagi kita di Malaysia, tetapi tidak bagi ribuan pelarian Rohingya yang berlindung di Kem Pelarian Balukhali.


Di bukit inilah yang suatu ketika dahulu, hanya boleh diakses dengan berjalan kaki lebih enam kilometer jauh ke dalam, dari jalan besar Cox's Bazar ke Teknaf, letaknya harapan mereka untuk hidup bermaruah.


Di bukit yang terletak di zon G Balukhali ini, ribuan pelarian Rohingya menumpang teduh sebelum mereka dihantar pulang ke Myanmar, negara yang tidak mengiktiraf etnik itu sebagai rakyatnya.


Dengan ihsan dan kebenaran pihak berkuasa Bangladesh, kawasan berbukit yang menempatkan sekurang-kurangnya 2,000 pelarian itu dipantau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).


Setakat ini, sebanyak 250 khemah sementara dan 100 telaga tiub serta lima masjid dibina oleh MAPIM di kawasan itu dan tempat lain di Balukhali, untuk meringankan beban pelarian.


Situasi itu walaupun baik jika dibandingkan dengan enam bulan lalu, namun masih banyak perlu dilakukan untuk menambah baik kemudahan asas, demi kelangsungan hidup pelarian etnik Rohingya yang hanya bergantung kepada bantuan asing.


Agihan makanan berkurangan


Pengamatan penulis menyaksikan pengagihan bantuan makanan misalnya, tidak lagi sekerap dahulu, malah sukarelawan mendakwa bantuan beras mula dikurangkan dan jumlah agihan lebih kecil.


Ada juga NGO yang mula terputus dana dan tidak lagi melaksanakan program bantuan di kem pelarian, termasuk di Teknaf yang terletak di sempadan Bangladesh-Myanmar.


Lebih 680,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos tahun lalu, selepas operasi berdarah tentera Myan