• Utusan Online

PBB: Rohingya Masih Tidak Selamat


AMERIKA SYARIKAT 14 Feb. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, belum tiba masa­nya bagi pelarian Islam Rohingya kembali semula ke Myanmar ke­rana negara itu gagal memastikan mereka akan selamat.


Kenyataan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan (UNSC) menerusi sidang video dari Geneva


Grandi berkata: “Biar saya jelaskan. Situasi kini tidak cukup kondusif untuk melaksanakan program penghantaran pulang secara sukarela pelarian Rohingya.


“Punca yang menyebabkan mereka melarikan diri juga masih belum ditangani dan kita tidak melihat adanya usaha untuk menangani isu hak asasi serta masalah status warga negara yang sudah berlarutan sejak sedekad lalu,” katanya.


Dalam perkembangan lain, kerajaan Myanmar menerusi kementeriannya berkata, pelarian etnik Rohingya yang tinggal di kem-kem sementara di sempadan Bangladesh perlu mengambil peluang yang diberikan kerajaan untuk pulang ke negara itu.


Pada 9 Februari lalu, sebuah rakaman video disebarkan dalam media sosial me­nunjukkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Perumahan, Aung Soe memberi amaran kesemua pelarian akan ‘me­nerima padahnya’ jika masih lagi tinggal di situ.


Hampir 700,000 Rohingya melarikan diri untuk mendapat perlindungan di Bangladesh sejak Myanmar melakukan operasi tentera pada tahun lalu.


Kerajaan Myanmar dan Bangladesh sebelum ini bersetuju untuk melakukan proses penghantaran pulang pelarian Rohing­ya tetapi kebanyakan mereka enggan berbuat demikian sehingga mereka diberikan hak kewarganegaraan dan jaminan ke­selamatan.