• Berita Harian

Khidmat Hospital di Cox's Bazar Sehingga Akhir Tahun


SEPANG: Operasi Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh yang dibangunkan bagi pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan Rohingya akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi merancang semula penghantaran petugas dari Kementerian Kesihatan untuk berkhidmat di hospital berkenaan secara berperingkat.


"Sejak penubuhan dan operasi Hospital Medan Malaysia bermula 20 November 2017 hingga 16 Februari lalu, seramai 144 petugas terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran berkhidmat di sana sepanjang tempoh tiga bulan.


"Berikutan itu, kita akan mengadakan perbincangan semula bagi penghantaran seterusnya membabitkan petugas Kementerian Kesihatan selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya pada sidang media Majlis Sambutan Kepulangan Petugas Hospital Medan Malaysia untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.


Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.


Seramai 41 sukarelawan kumpulan ketiga antaranya anggota dan pegawai Kementerian Kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar perubatan pelbagai bidang antaranya pakar bedah, pakar anestesia, pakar perubatan kecemasan dan trauma, pakar ortopedik, pakar obstetrik dan ginekologi, pakar perubatan kesihatan awam selain jururawat dan juru X-ray tiba ke tanah air hari ini.


Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata, sebelum ini, penghantaran petugas untuk berkhidmat di hospital berkenaan dibuat secara giliran.


Dari segi peralatan dan kelengkapan, beliau berkata, Hospital Medan Malaysia tidak menghadapi masalah kerana kemudahan itu lengkap.


"Malah, kita juga menjadi tempat rujukan kes selain mendapat pujian daripada pelbagai pihak di sana.


"Pengalaman diperoleh di sana amat berguna kepada petugas t