• Berita Harian

Nasib Pelarian Rohingya Dibela Malaysia


Keadaan Hospital Medan Malaysia yang dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan seperti bilik bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sebagainya di Hospital Medan Cox Bazar, Bangladesh

Kurang dua minggu lagi, mandat Hospital Medan Malaysia di Ukhia di Cox's Bazar, Bangladesh akan berakhir. Setakat ini, tiada tanda negara lain akan membuka kemudahan kesihatan dengan keupayaan sama untuk menampung keperluan lebih 650,000 pelarian Rohingya di kawasan itu.


Hospital Medan Malaysia yang beroperasi sejak akhir November lalu setakat ini memberikan rawatan kepada lebih 3,700 pesakit, termasuk warga Bangladesh, menjadi tumpuan masyarakat sekitar kerana kelengkapan yang canggih, termasuk mempunyai 100 katil.


Umum di Malaysia tidak mengetahui betapa penting hospital ini kepada pelarian Rohingya yang kini menumpang teduh di khemah pelarian di kem Kutupalong, Balukhali hingga pelarian yang berada di sempadan Teknaf dan Bandarban (sempadan pergunungan antara Myanmar dan Bangladesh).


Saban hari, pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di kem dan penempatan pelarian yang sesak, khususnya di Kutupalong dan Balukhali, akan dirujuk ke hospital Malaysia yang dikendalikan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Angkatan Tentera Malaysia.


Saban minggu ada sahaja nyawa diselamatkan di bilik kecemasan, bilik bedah dan bayi yang dilahirkan di bilik bersalin hospital yang diuruskan dan dijaga tenaga perubatan dan sukarelawan dari negara kita.


Kedudukan strategik


Hospital kita menjadi pilihan kerana faktor dekat dengan kem pelarian. Misalnya, ia hanya mengambil masa kurang 40 minit dari Kutupalong yang juga pelarian terbesar yang diduduki etnik tidak diiktiraf dari barat Myanmar itu sejak Ogos tahun lalu.


Sebelum ini, pesakit akan dihantar ke hospital di Cox's Bazar yang terletak lebih sejam setengah dari kawasan pelarian dan masa itu akan bertambah jika pelarian yang sakit dari kawasan sempadan seperti di Teknaf yang menjadi pintu masuk jalan laut ke Bangladesh.