• Utusan Online

Delegasi Khas ke Cox’s Bazar


NAJIB TUN RAZAK menyempurnakan majlis pelepasan delegasi khas Malaysia ke hospital medan di Wilayah Coxs Bazar, Bangladesh di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, Selangor semalam. Turut hadir, Hishammuddin Tun Hussein dan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

KUALA LUMPUR 27 Jan. Delegasi khas Malaysia ke hospital medan di Wilayah Cox’s Bazar, Bangladesh berlepas hari ini yang antara tugas mereka adalah menilai impak bantuan yang telah diberikan selain meninjau operasi dan memastikan kelengkapan mencukupi bagi menangani keadaan pelarian Rohingya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan majlis pelepasan rombongan diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ke Chittagong dengan menaiki pesawat pengangkut A400M kira-kira pukul 9 pagi di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


Misi itu turut disertai Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tan Sri Michelle Yeoh bersama 57 wakil Pejabat Perdana Menteri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tujuh petugas agensi media tempatan.


Misi kemanusiaan ketiga Malaysia ke Bangladesh itu dilakukan selaras dengan sokongan kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan memberi bantuan peralatan dan bekalan perubatan di hospital berkenaan.


Selain itu, rombongan delegasi itu juga akan mengagihkan 10 tan bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada barangan keperluan harian, makanan dan ubat-ubatan kepada pelarian Rohingya di negara tersebut.


Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim; Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md. Shahidul Islam serta wakil Kedutaan Arab Saudi dan UAE.


Malaysia merupakan negara pertama menubuhkan hospital medan di Cox’s Bazar dengan kelengkapan terkini dan kapasiti maksimum 100 buah katil serta dikendalikan oleh kakitangan perubatan terlatih.


Operasi hospital medan itu diketuai oleh Kementerian Kesihatan dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Relief Agency (MRA), Islamic Medical Association Relief Team, Mercy Malaysia dan Humanity Heroes.


Sehingga kini Malaysia mengerahkan aset hospital medan dan peralatan perubatan bernilai RM18 juta dengan kos operasi keseluruhan RM3.5 juta selama tiga bulan dan pasukan perubatan telah merawat lebih 3,768 pesakit setakat ini.

Perdana Menteri menyifatkan kerjasama UAE dan Arab Saudi untuk bersama-sama dengan Malaysia dalam membantu pelarian Rohingya di Bangladesh menunjukkan solidariti negara Islam.


“Kita telah cadangkan kepada Arab Saudi dan UAE supaya menunjukkan keprihatinan bersama Malaysia. Alhamdulillah mereka respon dengan begitu positif. Ini menggambarkan solidariti negara Islam,” katanya.


Tambah beliau, Malaysia akan terus komited membantu dan membela nasib pelarian Rohingya selagi isu kemanusiaan etnik itu tidak selesai.


“Selagi isu Rohingya tidak selesai, Malaysia akan terus perjuang melalui pelbagai platform sebab ini isu kemanusiaan,” katanya.


Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berpandangan, misi kemanusiaan kali ketiga itu yang mendapat sokongan Arab Saudi dan UAE menunjukkan keprihatinan dan peranan Malaysia dalam membantu etnik Rohingya.


“Perdana Menteri adalah driving force dalam isu kemanusiaan ini. Inilah pendirian kerajaan dalam membantu nasib pelarian Rohingya,” katanya.


Sementara itu, Michelle menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri berterima kasih kepada Najib atas sokongan berterusan yang diberikan dalam isu itu.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas perhatian segera Perdana Menteri dan sokongan berterusan beliau dalam menangani keadaan hiba di kem-kem pelarian,” katanya.


8 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua