• Utusan Online

Kem Pelarian Tegang, Rohingya Enggan Pulang ke Myanmar


SEKUMPULAN penduduk Rohingya beratur untuk mendapatkan bekalan bantuan di kem pelarian Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh, baru-baru ini

GUNGDUM, Bangladesh 21 Jan. - Ketegangan dilaporkan memuncak di beberapa kem pelarian Rohingya di Bangladesh hari ini berikutan rancangan penghantaran pulang etnik itu ke Myanmar.


Berpuluh-puluh daripada mereka dikatakan membantah operasi tersebut dengan memegang kain rentang ketika wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee dijadual melawat kem-kem berkenaan hujung minggu ini.


Pemimpin Rohingya di situ mendakwa, beberapa anggota tentera Bangladesh mengugut untuk merampas kad catuan makanan milik mereka jika enggan pulang ke Myanmar.


Di bawah perjanjian yang dipersetujui antara kerajaan Myanmar dan Bangladesh minggu lepas, kumpulan pelarian tersebut dijangka dihantar pulang ke dua pusat penerimaan termasuk sebuah kem sementara bermula Selasa lalu untuk tempoh selama dua tahun.


Bagaimanapun, kumpulan pelarian terbabit dikatakan enggan memberikan kerjasama melainkan jika keselamatan mereka terjamin.


Selain itu, mereka juga mahu supaya kerajaan Myanmar mengiktiraf dan memberikan kerakyatan selain menyediakan kediaman baharu, masjid serta sekolah yang dibakar atau dirosakkan dalam operasi ketenteraan Myanmar sebelum ini.


Ketika ini, dianggarkan seramai 655,500 penduduk Rohingya berada di Bangladesh selepas melarikan diri dari Rakhine, utara Myanmar gara-gara kekejaman tentera negara tersebut. -REUTERS