• Berita Harian

Mampukah Rohingya Hidup Bermaruah?


ROHINGYA barangkali menjadi perkataan paling tinggi dalam carian pelayan Google di dunia, ketika ini.


Pejabat diplomat Bangladesh di luar negara, khususnya di rantau Asia, pula tentunya menerima permohonan visa mendadak daripada individu atau organisasi untuk masuk ke negara dengan 160 juta populasi itu.


Mana tidaknya, semua pihak mahu masuk ke Bangladesh untuk menterjemahkan simpati mereka dengan menyampaikan bantuan kemanusiaan dari segi makanan, khemah hinggalah membina telaga dan tandas untuk etnik paling ditindas di dunia itu.


Ada juga berhasrat untuk ke wilayah Cox's Bazar, pusat pelancongan terkenal bertukar kepada lokasi penempatan pelarian terbesar di Asia Tenggara, untuk melihat sendiri keadaan di kem dan penempatan pelarian Rohingya seperti di Kutupalong dan Balukhali.


Dua kawasan yang terletak di bawah sub-daerah Ukhia di bawah Cox's Bazar itu disifatkan sebagai "kem pelarian mega" dengan lebih 250,000 pelarian Rohingya baharu, berlindung di kawasan itu.


Jumlah itu adalah sebahagian daripada 480,000 pelarian Rohingya yang baru tiba di Bangladesh sejak 25 Ogos lalu. Mereka lari daripada kekejaman tentera Myanmar di utara Rakhine yang didakwa melakukan pembersihan etnik.


Sesiapa sahaja yang melewati jalan utama dari Cox's Bazar ke Teknaf tentu menyedari mereka sudah menghampiri Kutupalong atau Balukhali.


Ini kerana laluan yang menghubungkan Cox's Bazar dengan lokasi pelancongan Pulau Saint Martin di sempadan Bangladesh-Myanmar itu dipenuhi ribuan pelarian Rohingya yang menagih simpati di jalanan.


Anak-anak kecil berlari tanpa berbaju dan berselipar. Ibu mengendong anak kecil manakala warga emas yang kudratnya rapuh dan meminta-minta di jalanan, adalah pemandangan biasa di situ.