• www.utusan.com.my

Pertahankan Maruah Islam


SELEPAS kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyah, tidak keterlaluan dikatakan umat Islam saban hari ditekan oleh musuh-musuh Islam.


Sudah menjadi rahsia umum, musuh-musuh Islam ini sering membuat perancangan untuk menekan umat Islam di seluruh dunia.


Manakan tidak, jika terjadi sebarang tindakan tidak berpe­rikemanusiaan seperti yang telah berlaku di Bosnia, tidak pula diambil tindakan dengan kadar segera.

Kini, kita boleh lihat apa yang sedang berlaku ke atas umat Islam Rohingya. Sudah terang lagi bersuluh, jika ada perkara buruk berlaku terhadap sekutu mereka, cepat sahaja tindakan diambil mereka.


Ambillah iktibar bagaimana penduduk Palestin yang menentang kekejaman Zionis dianggap sebagai pengganas manakala kekejaman Zionis dibiarkan bermaharajalela seolah-olah tiada sedikit pun kesalahan dilakukan mereka terhadap penduduk Palestin.


Inilah dikatakan sikap pilih bulu dilakukan Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS). Meskipun bukan semua negara Barat menyokong namun disebabkan AS dianggap kuasa terkuat dunia pada masa ini, tentangan dikenakan terhadap negara tersebut tidak seberapa.


Lebih parah, perancangan licik musuh-musuh Islam ini amat ke­tara apabila berjaya memporak-perandakan situasi politik di negara-negara Arab.


Pada awalnya, mereka amat menyokong Arab Spring ko­nonnya sebagai kejayaan besar penduduk negara-negara Arab.Kini, Arab Spring juga yang telah dan sedang memecahbelahkan kekuatan negara-negara Asia Barat.


Lihat sahaja apa yang telah berlaku di Iraq, Libya, Yemen dan Syria. Negara-negara Arab sema­kin lama semakin lemah.Musuh-musuh Islam sengaja mengambil pendirian mencucuk jarum mereka dengan begitu halus dan terperinci agar umat Islam di negara-negara Asia Barat berpecah-belah sehingga kekuatan mereka tidak lagi digeruni.


Selain melalui slogan perang menentang pengganas di Syria, musuh-musuh Islam ini telah berjaya melemahkan kekuatan ekonomi negara-negara Arab yang kaya dengan hasil minyaknya.


Buktinya kedudukan kewangan negara-negara Islam seperti Arab Saudi dilihat tidak lagi sekuat sebagaimana dahulu ekoran harga minyak berada pada tahap rendah.Arab Spring, perang menentang pengganas dan harga minyak rendah telah melemahkan negara-negara Arab yang akhirnya menyebabkan musuh-musuh Islam ini berani mengambil tindakan lebih jauh lagi untuk menjatuhkan maruah umat Islam.Ini jelas dapat dilihat melalui usaha AS untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel yang tidak diiktiraf umat Islam dunia.