- www.utusan.com.my
Pelarian Rohingya Berdepan Kekurangan Zat Makanan Kritikal

BALUKHALI, BANGLADESH 6 Dis. – Agensi bantuan memaklumkan pelarian etnik Rohingya di kem pelarian Bangladesh kini berdepan dengan kekurangan zat makanan yang kritikal malah hampir suku daripada golongan kanak-kanak pelarian itu berisiko mengalami kebuluran.
Malah kebanyakan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan itu dijangka meninggal dunia akibat jangkitan penyakit.
Golongan kanak-kanak merupakan 40 peratus daripada 625,000 pelarian etnik Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian di negara ini.
Analisis yang dilakukan oleh Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati kira-kira 7.5 peratus remaja etnik itu iaitu sekitar 17,000 orang mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.
Selain kesan pada bentuk fizikal, keadaan kanak-kanak berkenaan menjurus kepada imuniti badan yang lemah sekali gus memudahkan mereka dijangkiti penyakit.
Seorang doktor dari Pertubuhan Antarabangsa untuk Pendatang, Dr. Charles Erik Haider berkata, kekurangan zat makanan menyebabkan kanak-kanak tersebut mudah menghidap cirit-birit atau pneumonia dan perlu dimasukkan ke hospital.
Menurut UNICEF, semasa melarikan diri ke Bangladesh, kebanyakan pelarian hanya mampu makan sekali sehari dan minum air sungai atau lopak air.
Walaupun bantuan makanan telah diagihkan oleh Tentera Bangladesh dan Program Makanan Sedunia seperti beras, kacang dan minyak, setiap dua minggu namun golongan kanak-kanak masih bergelut untuk makan dengan sempurna.
Kata Haider, kebanyakan golongan ibu Rohingya tidak menyedari kekurangan zat makanan merupakan punca penyakit yang dialami oleh anak masing-masing.
“Malah ibu bapa tidak mengetahui anak mereka kekurangan zat makanan sehinggalah bertemu doktor untuk merawat penyakit lain malah kebanyakan mereka hanya mengetahui anak mereka mempunyai penyakit selepas mendapati gelang tradisi yang dipakai anaknya terlucut daripada tangan mereka yang kurus,” katanya.
Justeru beliau memberitahu, kesedaran tentang zat makanan terhadap golongan ibu bapa Rohingya perlu ditingkatkan.