• Mohd Azlan Zainal

Warga Negeri Sembilan Terus Peduli Ummah Sepanjang Ramadhan Lalu

Jelajah MAPIM bersama imam Palestin dan Syria seluruh Negeri Sembilan telah melabuhkan tirai pada akhir Ramadhan yang lalu. Sambutan begitu menggalakkan daripada masyarakat awam negeri ini. Hampir 70 buah masjid, surau, jabatan dan institusi pendidikan yang terlibat serta menyatakan komitmen agar terus menyokong usaha baik MAPIM ini.


Menurut Ustaz Fuad Bin Othman, merangkap Pengerusi MAPIM Negeri Sembilan, "sepanjang Ramadhan, MAPIM telah berusaha sedaya upaya memberikan pencerahan terhadap isu-isu terkini umat Islam yang berlaku di Palestin, Syria dan Rohingya khasnya. Alhamdulillah, pada tahun ini kita mendapat 8 orang imam Palestin dan Syria yang bertugas secara bergilir-gilir pada setiap minggu pada bulan tersebut. Kebiasaan kita mendapat khidmat 12 orang imam tetapi pada tahun ini kita kekurangan imam daripada Palestin kerana pintu sempadan Rafah ditutup. Namun begitu, ia tidak menjejaskan program dan aktiviti yang telah diatur oleh MAPIM. Buktinya, kita telah cuma memenuhi segala jemputan dengan sebaiknya".


MAPIM Negeri Sembilan merakam ucapan terima kasih dan penghargaan atas sumbangan dan bantuan orang ramai yang peka dan masyarakat yang prihatin dengan nasib yang sedang menimpa umat Islam.



Segala sumbangan dan bantuan disalurkan dengan kadar segera pada misi kemanusiaan terdekat dalam bentuk bantuan pek makanan, ubat-ubatan, keperluan asas harian, pemberian blanket, pembinaan 'water pump' dan sebagainya kepada mangsa peperangan dan pelarian di negara yang sedang bergolak.


Kita juga telah menghantar bantuan-bantuan ini secara berperingkat dan berfasa. Dalam bulan Ramadhan ini, krew dan sukarelawan MAPIM berjaya menghantar sumbangan ke Palestin, kem-kem rakyat Syria dan di Arakan, Myanmar.