• www.bharian.com.my

FFfM Tubuh Sekretariat Kukuh Misi Kemanusiaan


SHAH ALAM: Persidangan Pasca Food Flotilla for Myanmar (FFFM) hari ini sebulat suara menubuhkan Sekretariat Khas Kemanusiaan NGO Malaysia dan Antarabangsa (MAINS).


Sekretariat itu bagi memperkukuhkan misi kemanusiaan yang menggabungkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, luar negara dan agensi antarabangsa.


Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, objektif penubuhan sekretariat itu bagi menyelaraskan dan menggembleng tenaga untuk melaksanakan gerak kerja kemanusiaan di pelbagai lokasi, sama ada bencana alam mahupun kawasan konflik.


"Kami mahu MAINS jadi sekretariat yang membina rangkaian penggerak serantau dan antarabangsa dan memohon kerajaan menyokong supaya kami boleh mengangkat usaha ini ke peringkat lebih tinggi, contohnya Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR)," katanya yang bertindak sebagai Pengerusi Penaja bagi MAINS.


Mohd Azmi berkata, sekretariat itu juga berperanan menjalankan kempen mencari jalan penyelesaian dan perdamaian di negara bergolak, bukan sekadar menghantar bantuan semata-mata.


Beliau berkata, 27 agensi hadir ke persidangan itu termasuk lima dari luar negara iaitu Perancis, Kemboja, Indonesia, Singapura dan Thailand yang bersetuju menganggotai MAINS.


"Program pertama kami, Misi Ramadan pada Jun depan ke empat negara iaitu Gaza, Syria, Myanmar dan Somalia membabitkan dana RM10 juta. Kami sedang menguruskan persiapan dari sekarang.


"Sekretariat ini akan kaji keutamaan keperluan, contohnya khemah dan makanan bagi Syria, ubatan bagi Gaza, makanan untuk Myanmar dan Somalia," katanya.