• utusan.com

Sukarelawan Sedia Redah Teluk Bengal


YANGON 9 Feb. – Fasa pertama misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar yang selesai hari ini membuatkan para sukarelawan semakin bersemangat untuk meneruskan misi kedua di Bangladesh.


Walaupun perancangan asal ke Teknaf, Bangladesh terpaksa ditukar ke Chittagong dan bakal mengambil masa yang lebih lama untuk belayar, para sukarelawan nekad untuk tetap bersama-sama meredah Teluk Bengal demi etnik Rohingya.


Salah seorang daripada mereka, Mohd. Hidayat Abdullah, 26, daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata, saat menjejakkan kaki ke kem pelarian di Bangladesh nanti adalah waktu yang amat dinantikan memandangkan dia terlibat dengan projek pengumpulan barangan keperluan misi itu sejak tiga bulan lalu.


“Kami tetap bersemangat untuk meneruskan misi kerana di Yangon tidak semua sukarelawan dibenarkan turun dari kapal.


“Saya pernah mengikuti misi kemanusiaan MAPIM di pelbagai negara tetapi misi ini besar ertinya kepada saya memandangkan ia merupakan amanah masyarakat dunia bagi membantu etnik Rohingya,” katanya di sini.


Pada mulanya, kerajaan Bangladesh bersetuju untuk misi itu diteruskan di Teknaf dan bersedia memberi visa sewaktu ketibaan (VOA) kepada semua sukarelawan.


Bagaimanapun, kerajaan Bangladesh menukar pendirian dengan tidak membenarkan Nautical Aliya berlabuh di Teknaf tetapi memberi pilihan untuk kapal berlabuh di Chittagong, Kutubdia atau St. Martin tetapi para sukarelawan tidak dibenarkan turun dari kapal.


Menurut Mohd. Hidayat, semua para sukarelawan amat berharap kerajaan Bangladesh dapat memberikan VOA untuk membolehkan barangan bantuan kemanusiaan disalurkan terus kepada etnik Rohingya.


Dalam pada itu, ahli Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M) Baling, Mohd. Azrani Arifin, 36, berkata, berada di kem pelarian Rohingya di Bangladesh merupakan salah satu daripada impiannya sepanjang bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelaan.