• www.utusan.com.my

Nautical Aliya Lepasi Cabaran Pertama


SELAT MELAKA 4 Feb. - Kapal Nautical Aliya melepasi cabaran pertama semalam bagi menyempurnakan misi kemanusiaan Malaysia Food Flotilla for Myanmar apabila tali sepanjang 10 meter tersangkut pada kipas enjin kapal berkenaan.




Ketua misi berkenaan yang juga Presiden Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kapal berkenaan terpaksa berlabuh di pelabuhan 15 di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada pukul 11 malam semalam dan tiga penyelam terpaksa berkerja selama 10 jam untuk menyelesaikan masalah berkenaan.




“Perjalanan yang tertangguh dimulakan semula pada pukul 7.05 pagi hari ini dan kini kapal ini berada di perairan Selat Melaka.




“Dijangka pada pukul 7 malam hari ini, kapal Nautical Aliya akan berada di Pulau Jarak, perairan Perak dan pada Isnin pagi kapal ini akan memasuki Laut Andaman,” katanya di sini hari ini.




Menurutnya, sepanjang penyelam melaksanakan tugas mereka sukarelawan tidak membuang masa di atas kapal apabila sebanyak 500 tan lagi barang bantuan antaranya beras, tepung dan barangan kebersihan diri diangkut di atas kapal semalam.

“Kini keseluruhan barangan kemanusiaan yang diangkut ialah 2,300 tan.




“Kita telah meminta nasihat daripada kapten kapal Nautical Aliya, Mohamad Firdaus Faisal Mohamad dan beliau mengatakan tiada masalah untuk kapal ini membawa barangan dengan jumlah muatan begini,” katanya.