• www.utusan.com.my

Bangladesh Izin Berlabuh, Salur Bantuan


KUALA LUMPUR 4 Feb. – Kapal Nautical Aliya yang membawa misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla For Myanmar dari negara ini akhir­nya di­be­ri kebenaran untuk berlabuh dan menya­lur­kan bantuan kepada etnik Rohingya Islam di Pelabuhan Teknaf, Bangladesh.


Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar menerusi kenya­taan hari ini yang menyatakan bahawa kebenaran itu diterima malam tadi berikutan pertemuan antara Men­teri Luar, Datuk Seri Anifah Aman de­ngan Pesuruhjaya Ting­gi Bangladesh ke Malaysia, Md. Shahidul Islam di Putrajaya te­ngah hari semalam.


“Hubungan baik an­tara Malaysia de­ngan Bangladesh telah membolehkan perkara ini diselesaikan.


“Kerajaan Malaysia menghargai kerjasama daripada kerajaan Bangladesh yang sudi memberi kebenaran kepada misi kemanusiaan itu menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya di sekitar Pelabuhan Teknaf,” kata ke­nya­taan itu.


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyempurnakan pelepasan kapal Nuatical Aliya yang memulakan pelayaran ke Yangon, Myanmar dan Teknaf.


Misi bantuan kemanusiaan ter­sebut merupakan anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Maj­lis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).


Bagaimanapun, timbul kesulitan apabila difahamkan kerajaan Bangladesh tidak memberi kebenaran untuk misi kemanusiaan itu menghantar bantuan kepada etnik Rohingya yang berada di negara tersebut.


Perkara itu membuatkan Anifah mengambil keputusan me­ngadakan pertemuan dengan Md. Shahidul bagi menzahirkan rasa kesal Malaysia terhadap isu ber­kenaan.