• Astro Awani

MAPIM Sasar Lancar 'Food Flotila to Myanmar' Januari Depan


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merancang untuk melancarkan misi bantuan kemanusiaan untuk umat Islam Rohingya di Myanmar pada 7 Januari tahun depan. Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid yakin misi kali ini dengan nama 'Food Flotila to Myanmar' mampu dilaksanakan selepas rancangan pada 2012 gagal berikutan tidak mempunyai kapal bagi misi itu. Kata Mohd Azmi, keyakinan itu berlandaskan 'isyarat' yang diterima pihaknya daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memperakui rancangan tersebut, selain kenyataan komitmen daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta kepimpinan banyak negara yang telah dihubunginya. "Sekarang ini MAPIM sedang membuat rangkaian di peringkat ASEAN, menarik NGO-NGO yang mahu fokus terhadap isu ini antaranya daripada Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina. "Ini sebagai satu simbolik kerana untuk mendapatkan kapal yang besar mungkin agak sukar, tetapi sekurang-kurangnya kita mahu pecahkan sekatan ini supaya apabila mereka (kerajaan Myanmar) boleh beri laluan, saya harap lebih banyak lagi bantuan dapat dihantar," katanya selepas forum awam bertajuk 'Tangisan Rohingya: Tiada Siapa Yang Peduli?' di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini. Selain bantuan makanan, turut dirancang untuk disertakan dalam misi tersebut adalah perubatan juga khemah-khemah untuk warga Rohingya yang kehilangan tempat tinggal dapat berlindung teduh ketika dalam pelarian di negara mereka.