• Sinar Harian

Ibu Bapa Dibunuh, Kakak Dirogol


Mohd Hisham (tiga, kiri) menziarahi keluarga Abdul Rahim (tiga, kanan) di kediaman mereka di Jalan 6 Bagan Sungai Besar.

SABAK BERNAM - "Bapa dan ibu saya dibunuh dengan kejam, selain kakak dan ipar-ipar perempuan dirogol tentera Myanmar.


"Biarpun peristiwa itu berlaku 28 tahun lalu, namun kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan mereka itu masih segar dalam ingatan saya sampai saat ini," kata seorang etnik Rohingya, Abdul Rahim Hassan Ali, 50.


Menurutnya, kejadian pada tahun 1988 itu berlaku ketika dia bersama ibu bapa dan adik beradik serta iparnya sedang berehat selepas menjamah makan tengah hari di rumah mereka di Arakan, Myanmar.


"Ketika itu, pintu rumah kami diketuk kuat. Kami dengar suara bising di luar rumah."


"Kami tersentak bila beberapa tentera ceroboh masuk ke dalam rumah kami. Sebahagiam daripada kaum wanita menjerit ketakutan... kami cuba melawan, tapi apalah daya kami waktu itu," katanya.


Abdul Rahim anak bongsu daripada 13 beradik berkata, serangan di rumah mereka itu begitu menyayat hati apabila mereka diseksa dan dipukul, malah kaum wanita menjadi mangsa pemuas nafsu tentera Myanmar.


"Kami diterajang sesuka hati, malah hingga kini, kesan saya dipukul di kaki dan dahi kiri masih berbekas. Malah, adakalanya ia sakit sepertimana terseksanya kaum kerabat kami di sana," katanya.


Abdul Rahim yang menetap di Jalan 6 Bagan Sungai Besar berkata, dia dan isterinya, Hazrah Nazil Ahmad, 50, serta anak sulungnya, Mohamad Yusup, 32, yang ketika itu berusia empat tahun sempat melarikan diri ke dalam hutan.


"Kami berada dalam hutan lebih kurang tiga bulan. Masa itu, kami jumpa kumpulan pelarian lain yang turut sama ingin keluar dari Myanmar.


"Akhirnya, kami tiba di Thailand dan ditahan di sana selama tiga tahun sebelum kami dibebaskan.