• Mohd Azmi Abdul Hamid

Global Rampasan Kuasa Turki


Rakyat Turki sangat memahami apa erti berada di bawah pemerintah tentera. Terlalu banyak pengelaman pahit yang dilalui dalam era ketenteraan Turki sehingga percubaan rampasan kuasa kali ini telah ditolak secara tegas dan pantas oleh rakyat Turki.


Konsekuansi dari rampasan kuasa oleh tentera pada 1960, 1971-1973, 1980 dan 1997 mengajar mereka supaya tidak berkompromi dengan percubaan kudeta itu dan memikirkan jika mereka membiarkan negara terjun semula kepada kerajaan yang diterajui tentera, penderitaan akan berulang.


Bagi sekumpulan kecil pemberontak (putchists) dan kolaborator, mungkin hanya mereka merasa mencapai sesuatu dari rampasan kuasa secara militari selama ini. Begitu juga ada sebilangan kecil rakyat yang menyokong rampasan kuasa, merasa menang dalam rampasan kuasa terdahulu.


Namun semua tahu kelompok pemberontak inilah yang telah melukakan hati rakyat, merampas, meruntuh kehidupan dan menghitamkan masa depan rakyat sendiri.


Yang mengkagumkan ialah ketika jalanraya Istanbul dibasahi darah, ribuan orang awam berarak dan berdepan dengan tentera yang pro-kudeta yang dilengkapi dengan kereta kebal dan senjata berat.


Ketika pertempuran berlaku di Pusat Utama Tentera di Ankara - dikatakan kebu kuat penggerak kudeta itu - jambatan Istanbul dimana kudeta bermula dibuka semula kepada awam.


Tentera yang dihantar oleh ketua-ketua kudeta itu sama ada melarikan diri atau dipindahkan ke tempat yang lebih genting. Pokoknya pada keesokan harinya, semua pengangkutan awam termasuk sistem Metro kembali beroperasi seperti biasa.


Penduduk Istanbul nampaknya memiliki reputasi bertindak pantas untuk mengembalikan keadaan normal walaupun sentiasa perlu bersedia berdepan insiden yang lebih berat.


Ramai penganalisa Timur Tengah percaya keadaan kembali tenang hanya untuk sementara sebelum berlaku serangan gelombang ke dua. Walaupun 161 terbunuh, rakyat tetap siap untuk tidak membenarkan insiden Mesir berlaku di Turki.


Sebab itu bila satu faksi tentera, yang dipercayai terkait dengan gerakan Gulen, yang dipimpin oleh seorang ilmuan bernama Fethullah Gulen, merancang kudeta ke atas kerajaan Turki yang dipilih secara demokratik oleh rakyat, rakyat tidak berlengah. Mereka bangkit sepantas kilat. Hanya dalam beberapa jam, dari Parlimen sehingga rakyat dari pelbagai golongan, yang berhaluan kiri, yang Islamik, yang berkerudung, yang memakai skirt, yang berjubah, yang memakai jean, yang muda, mahasiswa dan yang tua, semuanya, tampil untuk menolak percubaaan rampasan kuasa itu, dan kudeta itu tumpas ditangan rakyat.